Dato' Sudirman bin Haji Arshad (25 Mei 1954 - 22 Februari 1992) merupakan salah seorang penyanyi yang terkenal di Malaysia. Beliau telah memulakan kariernya sebagai seorang penyanyi apabila dinobatkan sebagai "Juara Bintang RTM 1976" pada 11 Ogos 1976. Selain itu, beliau juga adalah satu-satunya pemegang gelaran "Penghibur Nombor 1 Asia" (pada 19 Mac 1989) dari Pahang, Malaysia sebelum kehadiran Siti Nurhaliza. Di samping itu, terdapat juga gelaran yang lain untuk beliau seperti "Penghibur Milik Masyarakat", "Seniman Rakyat" dan "Elvis Malaysia". Beliau juga mempunyai pelbagai kebolehan sebagai seorang penyanyi, penghibur, penggubah lagu, peguam, penulis, pengarang (buku memoir dan kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan dan pelakon.
Nama : Sudirman bin Arshad
Tarikh Lahir : 25 Mei 1954 (RABU)
Tempat Lahir :No. 48, Jalan Ibrahim, Temerloh,Pahang, Malaysia
Tinggi : 1.47 meter
Tarikh Kematian : 22 Februari 1992 bersamaan 18 Syaaban 1412(Sabtu) jam 4:00 pagi, (berusia 37 tahun)
Ibu : Puan Hajjah Romlah binti Dahalan
Ayah : Haji Arshad bin Haji Hassan
Adik Beradik : Zainuddin, Rodziah, Basir (Morni), Roslan dan Roaini
Sekolah :
- Sekolah Rendah Abu Bakar, Mentakab (1963-1968)
- Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia, Temerloh (1969-1971)
-Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar, Kuantan (1972-1975)
- Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (1976)
*Ijazah undang-undang (LL.B) (1980)
RIWAYAT HIDUP
Beliau mula mencipta namanya sebagai penyanyi apabila dia berjaya merebut gelaran Johan Bintang RTM peringkat akhir yang diadakan di Dewan Pay Fong, Melaka pada 11 Ogos 1976. Beliau mendendangkan lagu "Seruling Bamboo" dan "Big Spender In The Cabaret". Pada peringkat awal saringan, beliau memberi jawapan spontan seperti "seluar pinjam..." apabila disoal oleh pengacara rancangan mengenai seluar yang menggeleber yang dipakainya. Para penonton menyukai caranya yang berterus terang. Beliau mendendangkan lagu "Jali Jali", sebuah lagu klasik dari Indonesia. Para penonoton telah melihat dengan jelas sekali bahawa suaranya memang unik.
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, pada 14 Februari 1981, Sudirman menamatkan zaman bujangnya apabila berkahwin bersama kekasih pilihan hati yang telah dikenali sejak kecil Kamariah "Kay" Jamaluddin, seorang gadis yang bekerja di Petronas. Para peminat menyambut berita itu dengan gembira. Bagaimanapun, perkahwinan itu cuma bertahan selama tiga tahun sahaja. Ia berakhir dengan penceraian pada 25 Mei 1984 kerana tidak wujud lagi persefahaman di antara mereka. Pasangan ini tidak mempunyai anak.
Sudirman merakamkan kedukaannya melalui pahit getir penceraian menerusi lagunya "Terasing" dan "Merisik Khabar", malah beliau turut mencipta lagu "Setiamu Tiada Lagi" dendangan Ibnor Riza. Setelah bercerai, Sudirman menumpukan seluruh tenaga kepada kariernya termasuk menulis, melukis, dan menubuhkan syarikatnya sendiri.
TEMA LAGU
Nama Sudirman sebagai penghibur rakyat yang berwawasan terus subur di hati para peminat. Lagu-lagu dendangannya berjaya menggambarkan kehidupan seharian rakyat serta memahami budaya dan cara hidup orang Malaysia.
Lagu-lagunya ada untuk pelajar sekolah, pekerja kilang, jururawat dan gadis desa seperti lagu "Pesan Abang", "Jamilah (Untuk Jururawat)", "Sepetang di Pinggir Bukit", "Orang Kampung" dan banyak lagi. Ada lagu sentimental berkisar kepada alam percintaan hingga kepada lagu-lagu berunsur nasihat, patriotik, keamanan sejagat dan mencintai tuhan.
SELEPAS MENJADI ARTIS
Beliau pernah menyertai "World ABU Song Contest" yang diadakan di Singapura pada tahun 1985. Beliau mewakili Malaysia dan berjaya mendapat tempat ke-5 daripada 14 peserta yang bertanding. Para peserta terdiri daripada 14 buah negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Indonesia, Korea, Australia, Sweden, Fiji dan beberapa negara yang lain. Beliau diiringi oleh komposer Manan Ngah. Beliau menyanyikan lagu "Pesta Dunia", sebuah lagu ciptaan Manan Ngah dan lirik ditulis oleh Habsah Hassan. Perkara ini menyebabkan tercetusnya idea Habsah Hassan untuk menulis lirik lagu "Salam Terakhir".
Pada tahun 1986, Perlancongan Malaysia telah melantiknya sebagai "Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia". Semasa Persidangan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) yang ke-35 di Kuala Lumpur, beliau mempopularkan lagu "Cintai Malaysia, Kenali Malaysia" (To Know Malaysia Is To Love Malaysia) ciptaan Carol Connors dari Amerika Syarikat. Lagu ini juga menjadi lagu tema semasa kempen Tahun Melawat Malaysia.
Beliau juga dilantik sebagai duta bagi pelbagai syarikat terkenal seperti Proton, Malaysia Airlines, Honda Cup dan "honored pioneer card member" dengan Hong Leong Bank.
KONSERT DI JALAN CHOW KIT
Pada 15 April 1986, Sudirman menempa nama di dalam Malaysian Book of Records setelah mengadakan konsert gergasi percumanya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Beliau telah berjaya memikat serta memukau hampir 100 ribu warga kota untuk berpusu-pusu membanjiri jalan itu. Lagu yang dinyanyikan oleh beliau ialah ‘‘Chow Kit Road! Chow Kit Road!’’ dan diakhiri dengan lagu patriotik sambil memakai bendera Malaysia.
Jalan Chow Kit pada era Sudirman adalah tempat untuk golongan marhaen. Jalan Chow Kit menjadi simbol untuk orang-orang kebanyakan yang juga peminat beliau. Maka, konsert jalanan secara percuma adalah sebagai tanda terima kasih kepada para peminatnya yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel atau dewan untuk suatu konsert. Perkara ini juga telah memberitahu kita bahawa beliau bukan seorang yang materialistik.
PENGHIBUR NOMBOR SATU ASIA
Pada 19 Mac 1989, Sudirman telah dinobatkan sebagai "Penghibur Nombor 1 Asia" pada "Asian Popular Music Awards". Acara anugerah ini diadakan bersama-sama dengan Saleem Music Awards Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London. Beliau merupakan penyanyi yang pertama dari Malaysia yang pernah memenangi anugerah tersebut. Sudirman telah mengalahkan 8 orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong (Leslie Cheung), Filipina (Kuh Ledesma), Singapura (Anita Sarawak), China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Thailand. Dalam pertandingan tersebut, beliau telah menyanyikan dua buah lagu Inggeris "One Thousand Million Smiles" dan "Send In The Clown" dengan menggayakan aksi lucu ala-ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan serta membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil dari negara lain yang lebih hebat popularitinya.
Lagu "One Thousand Million Smiles" dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah. Proses rakaman lagu itu dibuat di Studio Abbey Road, tempat rakaman album bagi penyanyi berpengaruh seperti The Beatles. Lagu ini dipilih sebagai lagu tema Malaysia semasa Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
KEMATIAN
Pada 17hb. Julai 1991, Sudirman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Tawakkal, Kuala Lumpur selama 4 hari. Beliau telah dilaporkan pengsan setelah terjatuh. Selama 7 bulan beliau terlantar sakit, keluarga rapatnya merahsiakan punca penyakit dan lokasi beliau dirawat. Dalam tempoh itu, dia tidak ke mana-mana kecuali ke rumah kakaknya di Butterworth selama seminggu.
"Dia mahu peminat-peminatnya melihat dia sihat, ceria, penghibur yang hebat, sebagai hero di pentas. Sememangnya dia tidak mahu meninggalkan kenangan yang teramat sedih di hati peminat setelah melihat dia terlantar sakit dan meninggal dunia," begitu penjelasan kakak Sudirman, Rodziah apabila ditanya apakah Sudirman sendiri yang tidak mahu orang lain melihat dia sakit selain adik-beradiknya.
Pada 22 Februari 1992 (bersamaan 18 Syaaban 1412), hari Sabtu jam 4:00 pagi, ketika berusia 37 tahun, Sudirman Hj Arshad telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya, Datin Rudiah binti Haji Arshad yang beralamat di No. 16, Jalan Taban Satu, Lucky Garden, Bangsar Park, Kuala Lumpur setelah 7 bulan menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia). Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh pada hari yang sama, jam 3:45 petang - berdekatan dengan pusara orang tuanya (selang beberapa baris). Ribuan peminat setia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad (sekarang bergelar "Tun") telah menziarahi jenazah Allahyarham yang dianggap sebagai suatu kehilangan yang besar bagi dunia hiburan tanah air.
0 comments:
Catat Ulasan